Kajian Empirikal Pemisahan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya

Latar Belakang
Kerajaan Malaysia melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) telah mengambil inisiatif untuk mengkaji kewajaran bagi Cadangan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah melaksanakan kajian berdasarkan sumber terbuka (desk research) tentang amalan terbaik (best practices) berkenaan dengan pengasingan kuasa dan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang meliputi sembilan (9) buah negara, iaitu United Kingdom (UK), India, New Zealand, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Ireland, Kenya dan Amerika Syarikat.
Objektif
- Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah untuk memastikan keyakinan rakyat kepada institusi perundangan negara agar politik dan kuasa eksekutif tidak dilihat menguasai atau mengancam kestabilan sistem demokrasi yang bertunjangkan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
- Pelbagai isu dasar mengenai reformasi perundangan telah dibahaskan terutamanya semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas. Banyak pertanyaan telah dibangkitkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara berhubung dengan perkembangan kajian pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
- Sehubungan dengan itu, bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan tersebut, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) pada 5 Disember 2023 telah memaklumkan bahawa agenda reformasi institusi ini perlu dibuat kajian secara menyeluruh bagi memastikan kelangsungan semak imbang serta input kajian diperincikan dan kesediaan semua pihak dalam memastikan reformasi institusi yang dijanjikan dapat direalisasikan segera dan efisien.



