Kajian Penambahbaikan peperiksaan Sijil Amalan Guaman yang dikendalikan oleh Lembaga Kelayakan Profesyen Undang-Undang

Latar Belakang
Penubuhan Jawatankuasa Kajian Cadangan Penambahbaikan Terhadap Peperiksaan CLP telah dihasratkan oleh YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bagi melaksanakan semakan dan kajian kepada peperiksaan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice – CLP) yang sedia ada di Malaysia.
Jawatankuasa Kajian akan melibatkan keanggotaan daripada pihak-pihak yang mahir dan profesional dalam bidang undang-undang seperti ahli akademik dan pengamal undang-undang dan diberi tempoh masa selama 3 bulan untuk melaksanakan kajian.
Kajian penambahbaikan ini tidak akan menyentuh perkara berkaitan Common Bar Course/Common Bar Exam dan adalah bertujuan untuk memastikan pelaksanaan peperiksaan CLP di Malaysia adalah lebih teratur, telus, dan adil mengikut edaran zaman dan taraf peperiksaan profesional yang setaraf di peringkat antarabangsa.
Objektif
(i) Menjalankan kajian untuk mengenal pasti isu/permasalahan/kekurangan semasa yang sedang dihadapi berkaitan pelaksanaan peperiksaan CLP termasuk antara lain:
- syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk menduduki peperiksaan CLP pada masa ini;
- mekanisme penetapan soalan peperiksaan CLP;
- mekanisme ketelusan dalam sistem pemarkahan peperiksaan CLP dan penetapan gred;
- mekanisme semakan semula skrip peperiksaan CLP;
- jumlah percubaan yang dibenarkan untuk menduduki peperiksaan CLP dan peningkatan jumlah kali peperiksaan CLP diadakan dalam masa setahun;
- lain-lain isu/permasalahan/kekurangan yang dikenal pasti;
(ii) Mengadakan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan, termasuk calon-calon semasa dan bekas calon-calon peperiksaan CLP, untuk mendapatkan input dan pandangan;
(iii) Menjalankan kajian perbandingan dengan negara luar seperti United Kingdom, Australia, dan lain-lain negara luar berhubung perkara-perkara di perenggan (i);
(iv) Mengesyorkan penambahbaikan berhubung perkara-perkara di perenggan (i); dan
(v) Menyediakan laporan lengkap yang mengandungi hasil kajian dan dapatan serta syor penambahbaikan kepada YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam tempoh masa tiga bulan (3) bulan.
(vi) Membentangkan laporan lengkap yang ditambah baik (jika perlu) kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
